Dari Ibnu Umar radhiyallahu anhuma, ia berkata :
“Kami (para sahabat) pernah menilai orang terbaik di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka kami dapatkan yang terbaik adalah Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu , kemudian Umar bin Al-Khatthab radhiyallahu ‘anhu, kemudian ‘Utsman bin ‘Affan, mudah-mudahan Allah meridhai mereka semua.”
Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A yang Dijamin Syurga
Beliau ialah Abu Bakar Abdullah bin Abu Quhafah Uthman bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Taimi. Beliau adalah sahabat yang paling rapat dengan Nabi SAW. Ketika hijrahnya Baginda SAW ke Madinah, beliau satu-satunya sahabat yang menemani Baginda dalam perjalanan tersebut. Beliau digelar al-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Nabi SAW tatkala orang ramai mengatakan Baginda berdusta dalam peristiwa Isra’ Mi‘raj.
Al-Sya‘bi berkata: “Allah SWT telah memilih Abu Bakar dengan empat ciri yang tidak dimiliki oleh orang lain, iaitu:
1. Allah SWT memanggilnya al-Siddiq dan tidak ada orang lain selain dia yang diberi nama itu.
2. Dia adalah pendamping Rasulullah SAW di dalam gua ketika perjalanan hijrah.
3. Dia adalah sahabat Nabi satu-satunya ketika hijrah.
4. Ketika zaman Nabi, Baginda memerintahkan Abu Bakar untuk memimpin solat dan orang-orang Muslim ada di sana, dan bersaksi.
Dalam sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:
“Seandainya aku boleh menjadikan teman yang paling rapat daripada kalangan umatku, sudah tentu aku akan memilih Abu Bakar. Akan tetapi, mengumumkan persaudaraan dan kasih sayang kepada orang Islam itu lebih utama. Sesungguhnya, tidak ada satu pun pintu untuk masuk ke masjid yang kekal melainkan akan tertutup, kecuali pintu Abu Bakar.”
Riwayat al-Bukhari (466)
Abu Bakar R.A seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Ibn al-Jauzi menyatakan bahawa Sifat alami Abu Bakar sangat terkenal melalui kesolehannya, ketakutannya terhadap Allah, dan kerendahan hati. (Lihat al-Tabsirah, 1/400).
Abu Bakar R.A menjadi khalifah selama 2 tahun, 6 bulan, 4 hari. Ketika pemerintahannya, antara perkara penting yang dilakukan adalah perang melawan orang-orang murtad dan para pemberontak yang tidak mahu membayar zakat, memerangi Musailamah al-Kazzab (yang mengaku sebagai nabi palsu), pengumpulan al-Quran dan banyak lagi.
Ibn Sa’ad dan al-Hakim dengan sanadnya yang sahih meriwayatkan daripada Ibn Syihab bahawa Abu Bakar dan al-Harith memakan daging kecil yang dihiris-hiris, yang dituangkan air di atasnya, yang dihadiahkan kepada Abu Bakar. Al-Harith berkata kepada Abu Bakar: “Wahai Khalifah Rasulullah, angkatlah tanganmu kerana sesungguhnya di dalamnya ada racun. Sesungguhnya engkau dan aku akan mati pada hari yang sama.” Beliau kemudian mengangkat tangannya. Dan keduanya sakit hingga akhirnya mereka mati pada hari yang sama di akhir tahun. (Lihat Tarikh al-Khulafa’, hlm. 32).
Syeikh Mahmud al-Misri dalam kitabnya Ashab al-Rasul (hlm. 172) menyebut: Daripada Aisyah R.Anha, katanya: Permulaan sakit Abu Bakar adalah bahawa beliau mandi pada suatu hari yang sangat dingin. Lalu Abu Bakar R.A ditimpa demam selama 15 hari sehingga beliau tidak dapat menghadiri solat. Beliau pun meminta Umar untuk menggantikannya. Orang ramai datang menziarahinya dan orang yang paling tekun berada di sampingnya adalah Uthman.
Abu Bakar wafat dalam usia 63 tahun. Seluruh riwayat bersepakat dalam hal ini, dan usianya sama dengan usia Rasulullah SAW. Abu Bakar lahir tiga tahun selepas peristiwa Pasukan Gajah Abrahah. Asma’ bin Umais memandikannya, kerana Abu Bakar mewasiatkan demikian.
Olahan dan Rujukan dari :
-Ustaz Zulkifli Al Bakri
-Syarh As-Sunnah. Cetakan kedua, Tahun 1432 H. Imam Al-Muzani. Ta’liq: Dr. Jamal ‘Azzun. Penerbit Maktabah Dar Al-Minhaj.
Comments
Post a Comment