Skip to main content

Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani, Ulama' Ulung Tanah Melayu

Salah Satu Karya Agung beliau ialah Kitab Manhal As-Safi bagi membahaskan ilmu Martabat Tujuh. Berikut merupakan maklumat beliau :

NAMA penuh beliau ialah al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan bin Syeikh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Ibunya bernama Wan Fathimah anak Wan Salamah bin Tok Banda Wan Su bin Tok Kaya Rakna Diraja bin Andi (Faqih) Ali Datok Maharajalela bin Mustafa Datu Jambu (Sultan Abdul Hamid Syah) bin Sultan Muzaffar Waliullah bin Sultan Abu Abdullah Umdatuddin. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syeikh Daud Patani ini mempunyai lima beradik iaitu Syeikh Wan Abdul Qadir, Syeikh Wan Abdul Rasyid, Syeikh Wan Idris dan seorang adik perempuan namanya Siti Khadijah bin Abdullah al-Fathani.  

Beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Kota Kerisek ini terkenal dalam sejarah kerana di sinilah Maulana Malik Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar, sebelum berpindah ke Jawa Timur. Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.


Pendidikan dan gurunya:

Ayah Sheikh Daud iaitu Sheikh Wan Abdullah dan datuknya Sheikh Wan Idris adalah ulama besar untuk zamannya. Sejak kecil Sheikh Daud al-Fathani ditanam dan dididik dengan ajaran Islam oleh datuk dan ayahnya.Tambahan pula menjadi tradisi zaman itu di Patani sentiasa diperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Anak-anak yang berumur lima atau enam tahun dipaksa supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah (ilmu tauhid), dan seterusnya diberi pelajaran nahwu dan sorof juga secara menghafal. Syeikh Daud al-Fathani telah melalui kesemua sistem pendidikan tradisional yang ada di Patani pada ketika itu. 

Pada peringkat awalnya Syeikh Daud berguru dengan kaum keluarganya sendiri yang memang terkenal alim. Seorang daripada mereka ialah bapa saudaranya, Sheikh Shafiyuddin.Ada yang berpendapat bahawa Sheikh Daud al-Fathani menerima pelajaran asasnya di Patani selama lima tahun, kemudian ke Aceh belajar dengan Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi selama dua tahun. Sheikh Muhammad Zain al-Asyi adalah seorang ulama terkemuka di Kesultanan Aceh.Namun yang dapat dipercayai bahawa Sheikh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani.

Setelah demikian lama beliau menuntut ilmu pengetahuan, maka beliau pulang ke Patani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan di negeri tumpah darah sendiri. Namun timbul krisis peperangan antara Patani dengan Siam pada ketika itu. 

Diriwayatkan bahawa beliau melibatkan diri dalam peperangan itu, terjun secara langsung di gelanggang jihad fi sabilillah. Apabila terjadi peperangan tersebut, akhirnya beliau kembali ke Mekah bersama-sama beberapa pelarian politik. Sampai di Mekah, beliau dilantik menjadi Ketua Sheikh Haji dan beliau adalah orang pertama dilantik secara langsung sebagai ketua. Beliau juga melibatkan diri dengan penulisan yang merupakan hobi beliau, di samping mengajar di Masjidil Haram. Karangannya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. 

Karangan beliau dalam bahasa Arab tidak banyak tersebar di Asia Tenggara. Adapun dengan bahasa Melayu tersebar secara meluas, walaupun di zamannya masih merupakan kitab tulisan tangan sahaja kerana belum ada yang bercetak.Dalam beberapa karyanya, beliau mengupas masalah-masalah keilmuan. Antara lain tulisan beliau: Maka lazimkan olehmu hai saudaraku dengan menuntut ilmu yang fardu ain yang wajib atasmu. Belajar akan dia pada syarak supaya engkau dapat sahkan iktikad kamu dan ibadat kamu. Dan supaya sejahtera daripada seksanya. Dan supaya engkau akan dapat pahala, keredaan dan kasihnya”. 


Antara individu-individu yang pernah menjadi gurunya ialah seperti berikut:

Bangsa Melayu
1) Syeikh Muhammad Zain Aceh.
2) Syeikh Abd samad al-Falimbani. 
3) Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 
4) Syeikh Muhammad salih al-Fatani. 
5) Syeikh ali. ishaq al-Fatani.
6) Syeikh Abd al-Rahman Mubin. 
7) syeikh Muhammad Syihab al-Din B. Zain al- abidin
8) Syeikh Abdullah B. Ismail. 
9) Syeikh Muhammad B. Syaikh Ahmad Khatib.
10) Syeikh Muhammad Nafis B. hussain al-Banjari.

Bangsa Arab 
1)  Syeikh isa B. Ahmad Isa al-Barrawi 
2)  Syeikh Muhammad B.Abd al-Karim al-Sammani al-Madani.
3)  Syeikh Abdullah B. Ibrahim al-Syarqawi 
4)  Syeikh Ibrahim B. Muhammad al-Rais al-Zamzami. 
5)  Syeikh Ahmad Marzuqi al-Malik

Sepanjang tempoh pengajiannya, Syeikh Daud telah berjaya menguasai banyak ilmu agama seperti Usuluddin, Fiqh, Tasawwuf, Hadith, Sejarah dan lain-lain, termasuk Ilmu Alat yang mengupayakannya menterjemah karya-karya dari bahawa arab ke bahasa Melayu  sebagai wadah menyampaikan mesej dakwah. Sehingga sekarang belum ada bukti yang meyakinkan tentang pengajian “guru yang alim lagi amat luas ilmunya” ini. Mengikut catatan lama yang diwarisi oleh Haji Nik Ishak, Syeikh Daud ada mendirikan rumah sendiri di Makkah, iaitu pada tahun 1211H (1796M).

Murid-muridnya:
Kehadiran Syeikh Daud al-Fatani telah menarik perhatian ramai pelajar Melayu, sehingga ulamak ulamak dan pelajar-pelajar dari Asia Tenggara yang berada di Makkah itu telah menubuhkan Kesatuan Anak-anak Melayu.Di bawah ini disenaraikan nama-nama murid Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani yang terkenal, di antara mereka ialah:

1) Syeikh Abdul halim Kelantan.
2) Hj. Jamaluddin bin Lebai Muhammad Kelantan. 
3) Syeikh Ali bin Ishaq al-Fatani.
4) Syeikh Wan Hassan bin Ishaq Besut al-Fatani
5) Syeikh Muhammad Zayn bin Mustafa al-Fatani. 
6) Syeikh Wan Musa bin Mustafa al-Fatani 
7) Hj. Muhammad Saleh Khatib al-Fatani 
8) Syeikh Abd al-Samad Pulai Chondong, Kelantan. 
9) Syeikh Abdul Malik b. Isa (Tok Pulau Manis) Terengganu.
10) Syeikh Zaynuddin Aceh.
11) Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar Sambas.
12) Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Raƍman al-Fatani.
13) Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fatani. 
14) Syeikh Muhammad Zaynuddin b. al-Badawi Sumbawi. 
15) Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau. 
16) Raja Ali Haji Riau. 
17) Raja Haji Abdullah @ Marhum Mursyid al-Rawi. 
18) Syeikh Muhammad Saleh bin Munird al-rawi.
19) Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau.
20) Muhammad Saleh bin Sunan Maulana Qadi @ Tengku Tembusai.
21) Sultan Muhammad safiuddin Sambas. 
22) Lebai Din bin Long Nik al-Fatani.


Karya-karyanya:
1. Bughyatut Tullab-kitab Fiqah bahagian ibadat
2. As Shaidu Was Zabaaih-hukum penyembelihan, pemburuan, korban,aqiqah dan hukum binatang yang halal dan haram dimakan
3. Dhiyaaul Murid-metod berzikir menurut Tariqat Syatariyah
4. Sifat Dua Puluh (BM)*
5. Manhalus Shafi
6. Qisah Nabi Yusuf (BM) Buku yang paling lengkap tentang Nabi Yusuf pernah ditulis dalam Bahasa Melayu hingga Sheikh Daud boleh digelar sebagai seorang Sasterawan Islam Melayu 
7. Hikayat laki-laki yang salih (BM)
8. Khafiyat Khatam al Quran (BM) tentang tatacara khatam al-Quran
9. Muzakaratul Ikhwaan (BM) tentang bertaqwa kepada Allah
10. Risaalatus Saail (mengenai sembahyang Jumaat)
11. Kafayatul Mubtadi (ilmu Tauhid dan iman)
12. Muqaddimat Al Kubra (tentang „aqidah)
13. Al Qurbu ila ILah
14. Kifayat al Jawiyat
15. Tanbih al Ghafilin
16. Jinayat al Taktub
17. Ta"alluq bil Kalimat al Iman
18. Kaifiat Salat Tarawikh (BM) (tarawikh, witir,Tariqat Syathariyah, Thariqat Samaniyah dn Ziarah Kubur
19. Risalah tentang kelebihan Basmalah (BM) (Fadilat mengamalkan Basmallah dan cara-cara dan hitungan jumlahnya)
20. Risahal tentang kelebihan Hamdalah (BM) (kelebihan membaca Al Hamdulillah
21. Risalah Jawab Soalan (BM) (Jawapan pertanyaan yang khusus datang dari Patani
22. Kifayat al Muhtaj (1204H) (Kisah Isra" dan Mi"raj Nabi Muhammad s.a.w
23. Idah al Bab (1224H) (tentang nikah kahwin)
24. Najhu al Raghibin (1226H) (tentang Fiqah/Jual beli)
25. Ghayat al Taqrib (1226H) (tentang pembahagian harta pusaka)
26. Bulugh al Maram (1227H) (tentang muqaranah atau niat yang sah untuk sembahyang menurut Mazhab Syafi"i
27. Ghayat al Maram (1229H) (tentang mengerjakan haji dan umrah)
28. Al Dur al Thamin (1232H) (Asas-asas tentang kepercayaan Islam atau usuluddin) 
29. Tuhfat al Raghibin 11(1243H) (Tentang jenayah)
30. Najhu al Raghibin 11(1234H) (Hukum jual-beli)
31. Masauwaddah (1234H) (Tentang Maulus Nabi Muhammad s.a.w.)
32. Kasyful Ghummat (1238H) (Tentang kematian)
33. Jam"ul Fawaaid (1239H) (Tentang kelebihan beramal dan berakhlak)
34. Munyatul Musyalli (1242H) (Pelajaran Sembahyang)
35. Hidayatul Muta"allim (1244H) (Feqah)
36. Fat-Hul Mannan (1249H) (tentang „Aqidah, Tasawuf dan Feqah)
37. Jawaahirus Saniyah (1252H) (Fwqah)
38. Sullamul Mubtadi (1252H) (Feqah)
39. Furuu"ul Masaail (1254H) (Feqah)
40. Bahjatul Mardhiyyah (1259H) (tentang tatacara seorang Ma"mum mengikut Imam dalam sembahyang berjemaah)
41. Al Bahjatul Wardhiyah (1259H)
42. Matnu Hikam li al"Allamah Ibni Ruslan (Bahasa Arab)
43. Al Tanbih (Bahasa Arab)
44. Qismuz Zakati Bainal Asnaf (1989M) (Tentang membahagi Zakat kepada Asnaf yang delapan mengikut al Quran)
45. Risalah Syathariyah wa Samaniyah (1989M) (Tentang Thariqat Syathariyah dan Thariqat Samaniyah)
46. Fatwa Berjual Beli dengan Kafir (BM)
47. Hukum Haid dan Istihadhah (BM) (Perkara haidh dan istihadhah)
48. Nubzah fi Bayan Syurutil Jumu"ah (Syarat sah mendirikan Juma"at)
49. Ta"liqul Latif (Syarat mendirikan masjid) dll


Wafat:

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani telah meninggal dunia di taif. Tahun kematiannya tidak diketahui dengan pasti. Namun satu catatan menyebutkan  ia adalah pada tahun 1265H.  Jenazah beliau dimakamkan di taif bersebelahan dengan kubur Abdullah bin  Abbas  (r.a)  iaitu sepupu Baginda S.A.W yang meninggal dunia pada tahun 78H. 


Olahan dan Sumber dari :
Pondok Rumi Sufi Jawi
Juara Travel Miri

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Hidup Hassan Al-Basri & 40 Nasihat Kehidupan

Hasan al-Basri dilahirkan di Kota Madinah, pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Hasan al-Basri juga pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai Ulama terkemuka dalam peradaban Islam. Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup di zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Keilmuan dan ketokohan Imam Hasan al-Basri amat luar biasa dan tidak perlu disangkal lagi. Al-Imam Abu Salamah at-Tabuzaki mengatakan “aku menghafal daripada Imam Hasan al-Basri lapan ribu permasalahan Fiqh dan Hadith”. Saidina Anas ibn Malik pernah mengatakan “kalian tanyalah pada Imam Hasan al-Basri kerana beliau itu kuat ingatan sedangkan kami lupa”. Manakala menurut Imam Muhammad ibn Saad di dalam kitabnya menyebut “Imam Hasan al-Basri orang yang mengumpulkan semua ilmu, sangat alim, sangat mendal...

Saad Bin Abi Waqqas berdakwah di Negara China

Saad bin Abi Waqas, Pendakwah pertama ke Negara China Nama sebenar beliau ialah Abu Ishaq Sa‘ad bin Abu Waqqas Malik bin Uhaib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Zuhri al-Makki. Beliau termasuk dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga. Saad lahir dan membesar di kota Mekah, Dia dikenali sebagai pemuda yang memiliki pemikiran yang cerdas. Tubuhnya tidak terlalu tinggi namun bertubuh tegap. Orang selalu membandingkannya dengan singa muda. Saad berasal dari keluarga bangsawan yang kaya raya dan sangat disayangi kedua orang tuanya, terutama ibunya. Walaupun berasal dari Mekah, dia sangat benci kepada upacara penyembahan berhala yang menjadi budaya di Mekah ketika itu. Suatu hari, dia didatangi Abu Bakar RA dan mengajak Saad menemui Nabi Muhammad SAW di sebuah bukit berhampiran Kota Mekah. Beliau pun segera menerima undangan Nabi Muhammad SAW dan kemudian Saad menjadi salah seorang sahabat yang pertama masuk Islam. Sa...

Saidina Uthman Bin Affan yang Baik Hati

Dari Abdurrahman bin Khabbab dia berkata; Aku melihat Nabi Muhammad SAW ketika beliau memberi semangat terhadap pasukan Usrah (pasukan Tabuk).  Lalu Uthman bin 'Affan berdiri sambil berkata; "Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah."  Kemudian baginda memberi semangat terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin 'Affan berdiri sambil berkata; "Wahai Rasulullah, saya tambah dua ratus ekor unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah."  Kemudian baginda memberi semangat terhadap tentera, maka Uthman bin 'Affan berdiri sambil berkata; "Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah." Maka aku melihat Nabi Muhammad SAW turun dari mimbar sambil bersabda: "Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yan...