Skip to main content

Imam Al-Bushiri & Kisah Qasidah Burdahnya yang masyhur

Manuskrip asal Qasidah Burdah

Imam Al-Bushiri atau nama sebenarnya ialah Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin Zaid al-Bushiri (610-695H/ 1213-1296 M). Beliau keturunan Berber yang lahir di Dallas, Maghribi dan dibesarkan di Bushir, Mesir.

Beliau ialah murid kepada Imam  Hasan al-Syadzili, yang makamnya berada di Humaitsara, Mesir. 

Imam Al-Busiri ialah seorang yang bermazhab Syafi’i dan di masa kecilnya beliau di didik oleh ayahnya sendiri dalam mempelajari Al Quran di samping berbagai disiplin ilmu lainnya dan beliau juga belajar dengan para Ulama' besar lainnya.

Pengembangan beliau mulai pesat ketika di Kaherah, di mana beliau mula memperdalam ilmu agama dan kesusateraan Arab. Beliau juga menjadi seorang sasterawan dan penyair yang ulung melebihi para penyair pada zamannya.

SEJARAH RINGKAS QASIDAH BURDAH
Oleh Ustaz Iqbal Zain

Qasidah Burdah mengandungi 160 bait yang ditulis dengan gaya bahasa atau uslub yang menarik, lembut dan elegan. Imam al-Busairi menterjemahkan kehidupan Nabi Muhammad saw kedalam bentuk bait-bait puisi yang sangat indah. Dengan bahasa yang sebegitu indah, Imam al-Busairi telah berhasil menanamkan kecintaan dan kasihnya umat Islam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw dengan lebih mendalam. 

Selain dari rasa kecintaan dan kasih yang mendalam terhadap Nabi saw, nilai-nilai sastera, sejarah dan moral turut terkandung dalam qasidah tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah apabila qasidah ini sentiasa sahaja dibaca di institusi-institusi pengajian tradisional malah qasidah ini turut diajar di Universiti al-Azhar, Mesir. Imam al-Busairi hidup dalam zaman transisi atau perpindahan kuasa dinasti Ayyubiyyah kepada dinastik Mamalik Bahriyah. 

Pada ketika itu, pergolakan politik semakin gawat, akhlak masyarakat merosot dan para pemerintah terlalu mengejar kemewahan. Maka dalam suasana serba kekalutan itu, muncullah Qasidah yang dikarang oleh Imam al-Busairi yang seakan-akan mengajak manusia kembali mencontohi kehdupan Nabi saw yang berasaskan uswatun hasanah yakni suri tauladan yang baik, mengawal hawa nafsu dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang berasaskan al-Quran dan Hadith.

Burdah yang menjadi tema utama dalam karya al-Busiri itu adalah merujuk kepada jubah yang dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Burdah milik Nabi Muhammad saw ini telah diberikan kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma, seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam). Riwayat pemberian burdah oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab bin Zuhair bermula apabila Ka’ab sentiasa menggubah syair yang mengejek-ejek Nabi saw dan para sahabat. Kerana rasa jiwanya terancam, ia lari bersembunyi untuk melindungi diri dari kemarahan para sahabat. 

Ketika terjadi penaklukan Makkah, saudara Ka’ab yang bernama Bujair bin Zuhair mengutus surat kepadanya yang isinya antara lain menganjurkan Ka’ab agar pulang bertaubat dan berjumpa Rasulullah saw.

Setelah memahami isi surat itu, Ka’ab pun pulang ke rumah dan bertaubat. Ka’ab lalu berangkat menuju ke Madinah. Menerusi Abu Bakar as-Siddiq, Ka’ab menyerahkan diri kepada Rasulullah saw. Ka’ab mendapat penghormatan yang tinggi dari Rasulullah saw sehinggalah baginda melepaskan burdahnya dan diberikan kepada Ka’ab. Ka’ab kemudiannya menggubah sebuah qasidah yang dikenali dengan nama Qasidah Burdah. Qasidah ini ditulis dengan indah oleh seorang ahli kaligrafi, Hasyim Muhammad al-Baghdadi didalam kitab kaligrafinya yang berjudul Qawaid al-Khat al-Arabi. 

Burdah yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab kemudiannya menjadi milik keluarga Ka’ab sehinggalah ia dibeli oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dengan harga dua puluh ribu dirham. Burdah itu kemudiannya dibeli pula oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur dari dinasti Abbasiyyah dengan harga empat puluh ribu dirham. Burdah itu seterusnya dipakai pada setiap kali solat hari raya oleh khalifah dan kemudiannya menjadi tradisi turun-temurun.

Diringkaskan sehingga bagaimana Qasidah Burdah ini menjadi terkenal bermula apabila Imam al-Busairi tiba-tiba jatuh sakit dan diserang penyakit Syalal (lumpuh). Mengikut catatan ahli tarikh, beliau lumpuh separuh badan. Tabib-tabib yang terkemuka gagal mengubat penyakitnya. 

Dalam keadaan kesakitan dan tidak berdaya, Imam al-Busairi mengarang qasidah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad saw. Qasidah-qasidah ini disusun dengan begitu indah dan diulang-ulang oleh Imam al-Busairi. Kemuncaknya,pada satu malam ketika Imam al-Busairi tertidur, beliau bermimpi melagukan qasidah-qasidah yang dikarangnya di hadapan Baginda Rasulullah saw sendiri. 

Rasulullah saw dalam mimpi tersebut begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut, lantas baginda mengusap muka Imam al-Busairi dengan kedua-dua tangan baginda yang mulia. Rasulullah saw turut menyentuh bahagian tubuh Imam al-Busairi yang lumpuh dan memakaikan Imam al-Busairi dengan burdah baginda.

Sebaik sahaja tersedar dari mimpi tersebut, Imam al-Busairi mendapati beliau tidak lagi lumpuh! Imam al-Busairi dengan segera keluar dari tempatnya untuk menceritakan kisahnya kepada orang lain. Beliau bertembung dengan seorang pemuda yang bertanya kepadanya, “Syeikh, bawakan kepadaku qasidah-qasidah yang telah kau karang tentang Nabi SAW.” Terkejut dengan permintaan pemuda tersebut, Imam al-Busairi bertanya, “Dimanakah anda mengetahui tentang qasidah yang kukarang? Aku tidak pernah menceritakannya mahupun melagukannya kepada sesiapapun!!”

 Jawab pemuda tersebut,“Aku bermimpi malam tadi bahawa Nabi SAW didendangkan dengan qasidah-qasidah yang cukup indah yang memuji baginda. Aku lihat baginda begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut dan memakaikan pakaian baginda (burdah) kepada orang yang melagukan qasidah tersebut…Dan aku melihatmu dalam mimpiku!”

Sejak saat tersebut, Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam al-Busairi menjadi masyhur. Anak-anak Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya dan menjadi nasyid harian. Malahan ramai di antara Ulama' Islam seperti Ibnu Hajar Haitami yang menganggap harus untuk mempelajari qasidah ini bagi penuntut-penuntut ilmu Islam bagi memupuk kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW.Bahkan berpuluh-puluh ulamak muktabar ahlus sunnah wal jamaah sejak zaman itu sehingga kini mensyarahkan makna-makna disebalik bait Qasidah Burdah. Selain dari Qasidah Burdah, sebuah lagi qasidah yang sangat terkenal yang dikarang oleh Imam al-Busairi ialah Qasidah Mudariyya.

Refference : Ustaz Iqbal Zain & Azmi Abu Bakar

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Hidup Hassan Al-Basri & 40 Nasihat Kehidupan

Hasan al-Basri dilahirkan di Kota Madinah, pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Hasan al-Basri juga pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai Ulama terkemuka dalam peradaban Islam. Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup di zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Keilmuan dan ketokohan Imam Hasan al-Basri amat luar biasa dan tidak perlu disangkal lagi. Al-Imam Abu Salamah at-Tabuzaki mengatakan “aku menghafal daripada Imam Hasan al-Basri lapan ribu permasalahan Fiqh dan Hadith”. Saidina Anas ibn Malik pernah mengatakan “kalian tanyalah pada Imam Hasan al-Basri kerana beliau itu kuat ingatan sedangkan kami lupa”. Manakala menurut Imam Muhammad ibn Saad di dalam kitabnya menyebut “Imam Hasan al-Basri orang yang mengumpulkan semua ilmu, sangat alim, sangat mendal...

Saad Bin Abi Waqqas berdakwah di Negara China

Saad bin Abi Waqas, Pendakwah pertama ke Negara China Nama sebenar beliau ialah Abu Ishaq Sa‘ad bin Abu Waqqas Malik bin Uhaib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Zuhri al-Makki. Beliau termasuk dalam kalangan sepuluh orang yang dijanjikan syurga. Saad lahir dan membesar di kota Mekah, Dia dikenali sebagai pemuda yang memiliki pemikiran yang cerdas. Tubuhnya tidak terlalu tinggi namun bertubuh tegap. Orang selalu membandingkannya dengan singa muda. Saad berasal dari keluarga bangsawan yang kaya raya dan sangat disayangi kedua orang tuanya, terutama ibunya. Walaupun berasal dari Mekah, dia sangat benci kepada upacara penyembahan berhala yang menjadi budaya di Mekah ketika itu. Suatu hari, dia didatangi Abu Bakar RA dan mengajak Saad menemui Nabi Muhammad SAW di sebuah bukit berhampiran Kota Mekah. Beliau pun segera menerima undangan Nabi Muhammad SAW dan kemudian Saad menjadi salah seorang sahabat yang pertama masuk Islam. Sa...

Saidina Uthman Bin Affan yang Baik Hati

Dari Abdurrahman bin Khabbab dia berkata; Aku melihat Nabi Muhammad SAW ketika beliau memberi semangat terhadap pasukan Usrah (pasukan Tabuk).  Lalu Uthman bin 'Affan berdiri sambil berkata; "Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah."  Kemudian baginda memberi semangat terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin 'Affan berdiri sambil berkata; "Wahai Rasulullah, saya tambah dua ratus ekor unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah."  Kemudian baginda memberi semangat terhadap tentera, maka Uthman bin 'Affan berdiri sambil berkata; "Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah." Maka aku melihat Nabi Muhammad SAW turun dari mimbar sambil bersabda: "Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yan...